SUMAREH. FOTO Arkib NSTP


KUANTAN: Skuad Pahang akan menyenaraikan empat pemain import baharu biarpun status Mohamadou Sumareh selaku pemain tempatan belum disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). 

Setakat ini, skuad kendalian Dollah Salleh itu mengekalkan pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Namun, status Sumareh menjadi tanda tanya kerana MFL sebelum ini  memutuskan pemain kelahiran Gambia itu kekal selaku pemain import sehingga Mac ini. 

Bagaimanapun, Sumareh sudah menyarung jersi kebangsaan ketika membantu skuad Tan Cheng Hoe muncul naib juara Piala AFF Disember lalu. 

Bagi pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, skuad itu akan menyenaraikan empat pemain import baharu kerana yakin Sumareh sah sebagai pemain tempatan. 

"Kita harap MFL membenarkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan kerana dia juga pemain naturalisasi yang beraksi pada Piala AFF lalu. 

"Mengikut  perancangan, Pahang akan menyenaraikan dua penyerang import dan masing-masing seorang di posisi tengah dan pertahanan," katanya. 

November lalu, Pahang membuat rayuan kepada MFL untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga M musim 2019. 

Sebelum ini,  MFL mengesahkan Pahang yang juga juara Piala FA boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M musim 2019. 

Bagaimanapun, pemain kelahiran Gambia itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekali gus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 3:54 PM