TAJUL dilantik Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang baharu berkuat kuasa serta-merta. FOTO/IHSAN PEMBACA
Muhammad Apendy Issahak

IPOH: Setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan Omar dilantik Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif PAFA malam tadi.

Menurutnya, PAFA yakin pelantikan Tajul Hasnan itu mampu membantu melancarkan lagi pengurusan persatuan dan membolehkan Setiausaha Kehormat sebelum ini, Abd Aziz Yeop Jamaluddin memberi tumpuan penuh kepada tugas Naib Presiden II.

"Tajul Hasnan memiliki pengalaman luas dalam pengurusan bola sepak. Beliau dilantik Setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah Kerian sejak 1980 dan masih menabur bakti sehingga sekarang," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, Tajul Hasnan juga adalah Timbalan Pengerusi Persatuan Bolasepak Melayu Perak dan pernah mengetuai beberapa biro dalam PAFA, antaranya biro pertandingan, pengadilan, latihan dan tatatertib sejak mula memegang jawatan sebagai Ahli Majlis PAFA hampir 10 tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan majlis memperkenalkan pemain dan pelancaran jersi The Bos Gaurus musim 2019 akan diadakan di pekarangan Stadium Indera Mulia pada 26 Januari ini.

"PAFA mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat negeri ini sebagai tanda sokongan terhadap pasukan yang akan beraksi dalam playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

"Majlis ini akan bermula jam 8 malam dan disusuli persembahan beberapa artis terkenal tanah air. Selain itu terdapat beberapa aktiviti sampingan akan dilangsungkan sejak jam 8 pagi antaranya zumba, 'street soccer’, perlumbaan dron, jualan makanan menerusi trak makanan dan jualan istimewa oleh Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:16 PM