BEKAS pengurus Manchester United, Jose Mourinho. FOTO Agensi
BEKAS pengurus Manchester United, Jose Mourinho. FOTO Agensi

LONDON: Jose Mourinho boleh kembali ke Real Madrid selepas Manchester United dilaporkan membayarnya £15 juta (RM78.42 juta) sebagai pampasan selepas dipecat bulan lalu, menurut media British hari ini.

Daily Mail melaporkan sumber yang rapat dengan Mourinho – yang kontraknya hanya akan berakhir pada penghujung kempen 2019/20 dengan pilihan untuk disambung - mendedahkan pampasan itu sudah dibayar.

“Tiada isu mengenai kontrak Jose bersama Manchester United. Semuanya sudah diselesaikan,” kata sumber akhbar berkenaan.

“Jose boleh mencari tugas lain ketika ini, tetapi dia tidak terdesak.

“Dia sangat tenang mengenainya dan akan gembira untuk menunggu hingga penghujung musim jika diperlukannya.”

The Sun melaporkan United bersetuju dengan bayaran selepas pertemuan dengan ejen Mourinho, Jorge Mendes dan naib pengerusi eksekutif, Ed Woodward.

Pembayaran berkenaan membuatkan pengendali berusia 55 tahun dari Portugal itu boleh menerima tugas tetap di Madrid, walaupun penamat mengecewakan selepas dua setengah tahun di Old Trafford, ketika tempoh buat Santiago Solari selaku pemangku jurulatih berakhir bersama juara Eropah itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 7:42 PM