MILNER (kanan) kecewa Liverpool tumpas di tangan Wolves, Isnin lalu. - Foto Twitter James Milner
AFP

BRIGHTON, England: Kritikan terhadap keputusan Juergen Klopp melakukan sembilan pertukaran hingga menyebabkan Liverpool tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Wolves, akan terhapus sekiranya kelab itu berjaya menjulang trofi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 29 tahun, bermula di Brighton esok.

Klopp merehatkan Alisson Becker, Andy Robertson, Virgil van Dijk, Trent Alexander-Arnold, Georginio Wijnaldum dan Sadio Mane ketika kalah di Molineux Isnin lalu, manakala Mohamed Salah dan Roberto Firmino hanya dimasukkan ketika 20 minit terakhir.

Liverpool kini sudah tersingkir daripada kedua-dua piala domestik, tetapi ia tidak akan menjadi masalah besar sekiranya anak buah Klopp berjaya mengekalkan jurang empat mata ke atas Manchester City di puncak Liga Perdana.

Selepas bertandang ke Amex esok, Liverpool berdepan tiga perlawanan di laman sendiri menentang Leicester, Crystal Palace dan Bournemouth serta kunjungan ke West Ham sebelum aksi Liga Juara-Juara bertemu Bayern Munich.

Lima perlawanan liga itu membuka ruang buat Liverpool untuk mengutip mata penuh sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak selepas rekod tanpa kalah mereka musim ini dimusnahkan oleh anak buah Pep Guardiola.

“Dua kekalahan berturut-turut, ia tidak bagus untuk kami tapi ada masanya ia berlaku dalam semusim. Yang penting bagaimana anda bangkit selepas itu,” kata pemain tengah Liverpool, James Milner.

“Sukar untuk mengharungi musim tanpa kesilapan. Saya rasa pada permulaan musim ini kami tidak bermain dengan baik tapi masih meraih keputusan yang bagus.

“Saya rasa anda sudah melihat karakter dalam skuad sejak beberapa tahun lalu dan pemain yang kami ada, untuk tahu bagaimana kami akan bangkit.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 11:37 AM