Sathia memantau sesi latihan skuad Selangor. FOTO NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Thailand terus menjadi 'lubuk' popular kepada pasukan Liga Malaysia (Liga M) melangsungkan aksi pramusim sebagai persiapan mengharungi musim 2019.

Selepas Pahang, juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor turut  mengambil kesempatan menguji barisan pemainnya di negara Gajah Perang dengan tiga aksi persahabatan menanti skuad bimbingan B Sathianathan itu.

Sathianathan berkata, aksi persahabatan di Thailand itu adalah sebahagian daripada persiapan pramusim mereka dengan dia mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah cabaran lawan.

"Kita akan beraksi menentang Pattaya United, Chonburi FC dan kita sedang menunggu pengesahan daripada satu lagi pasukan. Pramusim di Thailand tidak asing bagi saya kerana saya pernah melakukan perkara sama ketika bersama Kelantan dan ATM sebelum ini.

"Pasukan Liga Thailand bukanlah pasukan yang mudah tetapi kita mencari pasukan lawan yang betul-betul kuat. Jadi, kita dapat menilai dari segi taktikal dan teknikal yang boleh diterapkan dengan barisan pemain yang kita ada sekarang," katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas pengendali FELDA United itu mengesahkan pasukannya berjaya mengikat pertahanan dari Australia, Taylor Regan sekali gus melengkapkan kuota lima importnya bagi musim hadapan.

"Sebaik saja dia menjalani pemeriksaan kesihatan dan perubatan, kami akan membawanya bersama untuk aksi persahabatan pramusim di Thailand.

"Saya lega kerana sudah menandatangani slot terakhir pemain import iaitu seorang pertahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 5:55 PM