AKSI ketika PSG (jersi hitam) menentang Red Star Belgrade. FOTO/AGENSI
AFP

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) didenda oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) susulan kekecohan yang ditimbulkan penyokong kelab itu ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade, Oktober lalu.

Kelab gergasi Perancis itu pada awalnya berdepan risiko dikenakan hukuman beraksi dalam stadium kosong menentang Manchester United pada aksi pusingan 16 terbaik, Mac depan.

Bagaimanapun, kekecohan yang ditimbulkan penyokong di luar Stadium Pars des Princes selepas perlawanan menyaksikan mereka hanya didenda 35,000 euro (RM165,047).

Red Star yang tewas 1-6 dalam perlawanan itu turut didenda 25,000 euro (RM117,889) kerana nyanyian yang dilakukan penyokong kelab berkenaan.

Sementara itu, Olympiakos didenda 90,000 euro (RM424,403) dan dikenakan penggantungan perlawanan di stadium selepas penyokong mereka melepaskan bunga api ke arah padang ketika kelab itu menewaskan AC Milan 3-1 dalam saingan Liga Europa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 8:57 PM