PELUMBA basikal Malaysia, Azizulhasni Awang. FOTO Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang berada di landasan tepat untuk meraih pingat emas kelima dalam kerjayanya bagi acara pecut individu selepas mara ke final Kejohanan Trek Asia di Velodrom Antarabangsa Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pelumba berusia 31 tahun itu yang lebih sinonim dengan acara keirin membuka tirai saingan hari ini dengan catatan 10.194 saat untuk menduduki tempat ke-10 ketika pusingan kelayakan.

Dia kemudiannya berjaya menyingkirkan pelumba Kazakhstan, Pavel Vorzhev pada aksi pusingan 16 terbaik diikuti kejayaan menewaskan Zhou Yu dari China dalam aksi suku akhir.

Malangnya, Azizulhasni berdepan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom pada aksi separuh akhir.

Dia menang perlumbaan pertama dengan catatan 11.555s manakala perlumbaan kedua menyaksikan dia merakam 11.114s ke atas Shah Firdaus.

Azizulhasni yang diberi jolokan The Pocketrocketman akan berdepan pelumba China, Xu Chao di pentas final selepas lawannya itu menyingkirkan Kazunari Watanabe dari Jepun dalam aksi separuh akhir.

Sebagai rekod, Azizulhasni sekadar meraih perak dalam acara itu pada edisi tahun lalu selepas tewas kepada Kazunari dalam aksi final.

Pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya memenangi emas dalam acara berkenaan pada edisi 2017, 2014, 2009 dan 2008. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 8:50 PM