Yiwen mahu bantu skuad negara muncul juara di Thailand. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Selepas dua hari menangis tanpa henti susulan tewas di suku akhir Terbuka Remaja British Bawah 19 Tahun, pemain skuasy negara, Chan Yiwen berazam untuk mengubat kekecewaan dengan membantu skuad remaja negara muncul juara di Kejohanan Remaja Berpasukan Asia minggu depan.

Menurut pemain berusia 18 tahun itu, walaupun baru saja pulang dari Birmingham, England dan  berehat kurang seminggu, mereka perlu cepat menyesuaikan diri sekali gus menepati ramalan selaku pasukan pilihan utama di kejohanan yang berlangsung di Pattaya, Thailand.

 "Apa yang saya harapkan ialah mampu untuk memberikan prestasi terbaik untuk membantu pasukan. Saya rasa kita tidak ada masalah untuk menepati ramalan kerana di Asia kita adalah pasukan paling kuat," katanya yang tumpas 9-11, 3-11, 13-11, 8-11, 4-11 kepada Farida Mohamed dari Mesir di suku akhir Terbuka Remaja British minggu lalu.

Walaupun diletakkan selaku pilihan utama di Pattaya, Yiwen berkata mereka harus berhati-hati seandainya bertemu dengan Hong Kong di perlawanan akhir.

 "Memang kita akan berdepan kesukaran menentang Hong Kong dan menjangkakan satu perlawanan getir. Apa pun kita akan bersedia dan sentiasa mengkaji permainan mereka," kata pemain kelahiran Kedah itu.

 Skuad remaja wanita diundi dalam Kumpulan A bersama Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Macau, dengan dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.

 Satu lagi kumpulan (Kumpulan) B menyaksikan Hong Kong diundi bersama India, Singapura dan Sri Lanka.

 Selain Yiwen skuad negara diperkuatkan dengan kehadiran Aifa Azman, Ooi Kah Yan dan Jessica Keng.

 Menceritakan kembali detik hitam di Birmingham, Yiwen mengakui dia berasa sangat kecewa selepas tumpas di suku akhir dan pemain lawannya bermain dengan kasar.

 "Saya beraksi sehingga cedera pada perlawanan berkenaan namun sekurang-kurangnya mampu memberi tentangan, sehingga ke set penentuan.

 "Sebenarnya selepas ketinggalan 0-2 saya, berazam tidak mahu menyerah kalah dan ingin membalas dendam namun pada set penentuan dia sentiasa menolak saya sehingga jatuh. 

 "Memang saya kecewa selepas perlawanan berkenaan dan menangis tidak berhenti selama dua hari. Bagaimanapun, saya merasakan kita berpeluang untuk membalas dendam terhadap Mesir menjelang Kejohanan Berpasukan Remaja Dunia nanti," kata Yiwen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:15 PM