PENGERUSI Pengelola Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28, Datuk Abd Rahim Md Ariff mengadakan sidang media Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 di Hotel Impiana, Ipoh. FOTO NSTP/MUHAIZAN YAHYA.
Farah Suhaidah Othman

 

IPOH: Enam negara mengesahkan tempat untuk menyertai kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-28 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, pada 23 hingga 30 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan, Datuk Abd Rahim Mohd Ariff, berkata negara yang sudah mengesahkan penyertaan ialah India, Kanada, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Jepun selain tuan rumah, Malaysia.

Katanya, pada kejohanan kali ini, Australia tidak dapat beraksi berikutan terbabit dalam Liga Profesional edisi pertama dilancarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) bermula Januari hingga Jun ini.

“Pasukan utama dari Eropah seperti Britain dan Belgium serta New Zealand terbabit dalam Pro Liga (Liga Profesional), namun kita dapat pengesahan tempat dari pasukan ranking kelima dunia iaitu India,” katanya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.

Abd Rahim berkata, skuad negara mempunyai peluang cerah meraih gelaran juara buat kali pertama sejak kejohanan dipertandingkan pada 1983 berikutan ketiadaan pasukan elit dunia seperti Australia, New Zealand, Belgium dan Pakistan.

“Jika dilihat ranking pasukan lain, nampaknya pencabar kita adalah India, namun kita tidak boleh mengetepikan Jepun sebagai juara hoki dalam Sukan Asia (tahun lalu).

“Bagaimanapun, peluang untuk Malaysia ke perlawanan akhir amatlah cerah,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan edisi kali ini adalah pentas pasukan negara menebus kehampaan ketika tumpas kepada Jepun dalam perlawanan akhir Sukan Asia di Jakarta-Palembang, tahun lalu. 

“Rakyat Malaysia pasti mahu melihat semula perlawanan ulangan antara Malaysia dan Jepun kerana kita agak terkilan dengan cara kekalahan pasukan Speedy Tigers di tangan Jepun, dan kita harap ia mampu ditebus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 7:11 PM