VICTORIA tewas di pusingan awal. FOTO/AFP
VICTORIA tewas di pusingan awal. FOTO/AFP
AFP

MELBOURNE: Victoria Azarenka bertekad untuk bangkit daripada kejatuhan kariernya dan kembali kepada prestasi terbaik yang pernah menyaksikannya memenangi dua gelaran Terbuka Australia.

Bekas pemain nombor satu dunia itu tersingkir awal pada Grand Slam pertama di tangan pemain kurang dikenali dari Jerman, Laura Siegemund semalam.

Victoria, 29, dilihat mengesat air matanya berikutan kekalahan itu selepas kembali beraksi selepas melahirkan anak, Leo dan isu penjagaan anak.

“Saya pernah mengalami kecederaan sebelum ini tetapi tidak pernah meraih keputusan yang buruk.

“Bukan mudah untuk berada di sini dan sentiasa positif, tetapi saya tidak mempunyai pilihan lain,” kata pemain Belarus yang kini menduduki ranking ke-58 itu.

Victoria berkata, dia bertekad untuk kembali beraksi di pentas tertinggi dan percaya hanya dengan kerjas keras mampu mengembalikan zaman kegemilangannya.

Bagaimanapun, bekas bintang dunia itu gagal menafikan kemenangan Laura 6-7 (5/7), 6-4, 6-2, kekalahan paling buruk untuknya di Melbourne Park sejak tersingkir di pusingan pertama ketika penampilan pertamanya pada 2006.

“Saya gagal menemui rentak permainan sebenar. Tapi ia tidak akan menghentikan impian saya.

“Tidak kisah sejauhmana sukar, saya perlu belajar daripada situasi ketika ini. Saya tidak pernah merasai kesukaran sebelum ini , jadi ia mungkin satu pengajaran untuk saya.”

Victoria memenangi Terbuka Australia pada 2012 dan 2013 tetapi tidak beraksi pada dua musim terakhir kerana melahirkan anak dan berdepan isu hak penjagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:41 AM