PEMAIN import baru PKNP FC, Thomas Abbey (kanan) dan Siyavush Asrorov pada Majlis Menandatangani Kontrak Pemain PKNP FC di Hotel [email protected] FOTO Effendy Rashid.
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: PKNP FC mengikat dua pemain import baharu iaitu pemain kebangsaan Ghana, Thomas Abbey dan pemain kebangsaan Tajikistan, Siyavush Asrorov bagi menguatkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Abbey, 26, yang beraksi di posisi tengah dan Siyavush, 27, di posisi pertahanan mengikat kontrak selama setahun dengan pasukan itu selepas Ketua Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berpuas hati dengan corak permainan kedua-dua pemain itu.

Kedua-dua mereka secara rasmi menjadi pemain pasukan PKNP FC selepas menandatangani kontrak di hadapan Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam Majlis Menandatangani Kontrak Pemain PKNP FC di Hotel [email protected], hari ini.

Selain kedua-dua pemain import itu, PKNP FC musim ini turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa muka baharu iaitu pemain senior, Mohd Hafiz Kamal dari Perak dan Mohd Fazrul Hazli (FELDA United).

PKNP FC turut berjaya mendapatkan khidmat penjaga gol Perak, Khairul Asyraf Sahizah; Muhammad Rafiq Faeez Muhammad Fuad (Perak), G Mugenthiran (MIFA), Khairul Thaqif Shah Kamal Bashah (Shah Alam Antlers) dan Muhammad Hasnan Mat Isa (PJ Rangers).

Zainol Fadzi berkata, PKNP FC musim ini belum memutuskan sama ada akan menggunakan khidmat lima atau empat pemain import dan setakat ini hanya dua pemain iaitu Abbey yang beraksi dengan kelab Ismaily FC di Mesir dan Siyavush (FC Istiklol) dipilih.

Katanya, setakat ini beliau memberikan kebenaran kepada jurulatih untuk mengambil empat pemain import terlebih dulu dan kuota pemain import itu akan diisi dalam masa terdekat sebelum liga bermula.

Katanya, beliau yakin kemampuan Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Burn dalam memilih pemain import terbaik bagi pasukan dan merencanakan strategi bagi membolehkan sasaran ditetapkan iaitu berada dalam kelompok lima terbaik dapat dicapai.

"Kalau tanya saya, sudah pasti kita nak jadi juara namun setakat ini kita meletakkan sasaran berada di kelompok lima terbaik dalam liga super dan yakin sasaran itu akan berjaya dicapai," katanya.

Mengulas mengenai kehilangan penyerang utama mereka, Shahrel Fikri Md Fauzi yang sah akan beraksi dengan pasukan 'abang' iaitu Perak, Zainol Fadzi berkata, pihaknya tidak berdepan sebarang masalah kerana yakin kekosongan itu dapat diisi pemain lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 5:07 PM