ZAINOL FADZI PAHARUDIN
Mohd Hafizee Mohd Arop


IPOH: PKNP FC akan menggunakan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di Manjung sebagai gelanggang tuan rumah bagi perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Selain pasukan Liga Super, pasukan Piala Presiden PKNP FC juga akan menggunakan gelanggang itu selepas ia sudah dinilai dan diluluskan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata pihaknya sudah memutuskan perkara itu selepas mendapat kelulusan MFL dan stadium itu akan digunakan sebagai gelanggang tuan rumah bagi pasukan Liga Super dan Piala Presiden.

Justeru katanya, satu Majlis Memperkenalkan Pemain PKNP FC juga akan diadakan di stadium berkenaan pada jam 8 malam, 30 Januari ini dan akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Menteri Besar (Ahmad Faizal) sudah bersetuju dengan tarikh majlis itu dan ia akan diadakan di gelanggang tuan rumah kita bagi menarik penyokong di Manjung bagi menyokong PKNP FC.

“PKNP FC juga sudah menubuhkan kelab penyokong di sana bagi memberikan sokongan kepada pasukan setiap kali perlawanan di gelanggang tuan rumah,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain PKNP FC di sebuah hotel di sini, hari ini.

Zainol Fadzi berkata, untuk musim ini juga PKNP FC akan melancarkan pas bermusim yang membolehkan peminat PKNP FC tidak perlu membeli tiket setiap kali membabitkan pasukan itu di gelanggang tuan rumah.

“Pas bermusim kita lebih menarik iaitu dengan pas bermusim ‘grandstand’ dan teres yang dibeli peminat akan dapat percuma satu tiket untuk masuk ke MAPS (Movie Animation Park Studios) di Meru.

“Pas ini dijangka akan dilancarkan pada majlis memperkenalkan pemain dan berharap penyokong PKNP FC akan hadir beramai-ramai kerana pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada majlis itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:18 PM