Ahmad Shapawi atlet perlu melepasi syarat kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia. FOTO NSTP.
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menjawab isu penarikan diri tiga atlet memanah compound seperti didedahkan media, hari ini.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, satu mesyuarat jawatankuasa kerja bagi sukan itu diadakan Jumaat lalu dan memutuskan 10 atlet memanah recurve dan 15 atlet compound termasuk Juwaidi Marzuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip disenaraikan untuk mengikuti program latihan tahun ini.

Nama tiga atlet itu yang mengambil tindakan menarik diri sebelum ini disenaraikan dalam program berkenaan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Filipina 2019 dan mereka harus menjalani latihan sepenuh masa di Bukit Jalil.

Shapawi menegaskan, atlet terpilih yang menyertai program latihan sepenuh masa akan diberikan elaun latihan berdasarkan kelayakan atau ‘tiering’ antara RM800 hingga RM7,500 sebulan manakala separuh masa RM500 termasuk kemudahan lain.

Namun susulan maklum balas Persatuan Memanah Kebangsaan (NAAM), Shapawi berkata, sebahagian pemanah compound tidak bersedia mengikuti latihan sepenuh masa dengan pelbagai alasan dan jawatankuasa kerja memanah bersetuju menawarkan mereka pilihan latihan persendirian dengan program latihan secara berkala.

Malah, Shapawi berkata, mereka yang ingin melakukan latihan persendirian juga akan menerima elaun latihan separuh masa seperti dipersetujui dalam skim elaun latihan MSN.

“Jawatankuasa kerja memanah juga bersetuju menawarkan surat tawaran separuh masa terlebih dahulu diikuti dengan program taklimat awal bersama pemanah yang dipilih bagi menyelaraskan program latihan keseluruhannya. Surat tawaran pun belum dikeluarkan lagi kepada atlet terbabit,” kata Shapawi.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti kenapa penarikan diri ini berlaku tanpa surat tawaran diberikan dan tanpa perjumpaan pertama serta perbincangan dilakukan antara atlet dengan MSN dan NAAM,” kata Shapawi.

Sebelum ini, beberapa atlet memanah meluahkan rasa terkilan malah ada yang menarik diri daripada skuad kebangsaan dengan antara sebab utama membabitkan soal pemotongan elaun seperti dilakukan trio pemanah Juwaidi, Zulfadhli dan Kin Lip.

“Saya menyarankan semua atlet yang akan ditawarkan ini terlebih dulu hadir pada taklimat awal dan membincangkan permasalahan mereka dengan pengurusan. Sebagai makluman, semua pemanah recurve bersetuju menjalani latihan sepenuh masa manakala sebahagian saja pemanah compound difahamkan keberatan untuk menjalani latihan sepenuh masa.

“Pemilihan akhir atlet ke Sukan SEA juga terbuka kepada semua pemanah sama ada sepenuh masa atau separuh masa dengan syarat harus melepasi syarat kelayakan ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM),” kata Shapawi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 9:11 PM