FIGUEROA uji semua pemain JDT. FOTO/NSTP
Zulfaizan Mansor


KUALA LUMPUR: Masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki dalam persembahan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum menghadapi musim ini yang lebih mencabar.

Perkara itu diakui pengurus pasukan, Luciano Figueroa selepas menyaksikan juara Liga Super lima kali berturut-turut itu tewas 1-2 kepada kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol FC pada aksi persahabatan di Bangkok, semalam.

Figueroa bagaimanapun tampak tidak terlalu kecewa dengan keputusan itu kerana sedar Harimau Selatan masih dalam proses mencuba kombinasi terbaik antara semua pemain.

"Keputusan perlawanan tidak memihak kepada kami, namun perlawanan persahabatan pertama di Thailand ini merupakan persediaan yang baik buat JDT menjelang musim 2019.

"Kami melakukan perkara sama ketika menentang Home United dan membuat pertukaran pemain pada babak kedua untuk memastikan keseluruhan skuad mendapat masa permainan yang mencukupi.

"Ini bagi membolehkan pemain mendapatkan ‘match fitness’ mereka pada tahap optimum sebelum memulakan musim baharu pada 2 Februari," kata Figueroa.

JDT berjaya mengikat beberapa pemain baharu termasuk dua bintang muda negara Akhyar Rashid dan Syazwan Andil Ishak yang diyakini mampu menyumbang sesuatu buat skuad itu terutama akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat kali pertama.

Malah, mereka juga turut diperkuatkan dengan bekas penyerang Buriram United dan penjaring terbanyak Liga Thailand, Diogo Luis Santo.

Selain ACL, kelab dari selatan tanah air itu juga meletakkan sasaran untuk mencipta sejarah baharu dengan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:54 AM