BARISAN pemain import FELDA United musim 2019. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Tugas berat menanti pengendali baharu FELDA United, Nizam Jamil apabila beliau menggunakan hampir 60 peratus pemain muda hasil program pembangunan FELDA dalam mengharungi kempen Liga Super musim ini.

FELDA United yang hadir ke saingan divisyen satu dengan reputasi hebat selaku juara Liga Perdana musim lalu, membariskan seramai lapan pemain warga FELDA, manakala tujuh lagi tonggak dibawa masuk menerusi program pembangunan kelab itu.

Biarpun ‘perjudian’ itu tampak berbahaya buat skuad yang digelar The Fighters itu, Nizam sebaliknya tenang dan yakin dengan kemampuan pemainnya meskipun mengakui masih kurang pengalaman dalam menempuh intensiti tinggi dan pantas liga utama tempatan itu.

“Pemain ini perlu diberikan peluang untuk menunjukkan siapa mereka walaupun sekarang kami belum mengetahui kemampuan sebenar mereka.

“Saya rasa mereka juga akan menunjukkan usaha yang lebih dan bermain dengan bersungguh-sungguh kerana sebagai warga dan anak jati FELDA, mereka mempunyai semangat luar biasa dan mencintai pasukan.

“Begitu juga saya yang berasal dari Kajang, Selangor. Apabila diberi peluang bermain untuk Kajang sudah tentu saya akan beri sepenuhnya demi tempat lahir saya, begitu juga dengan pemain yang dilahirkan dan dibesarkan sebagai anak FELDA atau dari sistem pembangunan FELDA,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pemain import dan sesi perjumpaan presiden bersama staf kejurulatihan di Bangi, hari ini.

Bagi mengharungi musim baharu ini, FELDA United menukar empat awang import musim lalu apabila hanya mengekalkan seorang tonggak pertahanan dari Brazil, Thiago Aquino.

Sebaliknya, Nizam membawa masuk tiga import baharu iaitu Jocinei Schad (Brazil), Jaycee Okwunwanne (Bahrain) dan Kei Ikeda (Jepun) dengan satu lagi tempat akan diisi oleh import dari Asia Tenggara.

“Buat masa ini kami hanya mengambil empat pemain import. Untuk slot ASEAN masih lagi belum diketahui dan saya menyerahkannya kepada pengurusan pasukan.

“Sekiranya ada keperluan untuk mengambil import kelima, anda akan ketahui selewat-lewatnya minggu depan. Tapi jika tak jadi, saya akan gunakan pemain yang ada kerana ia akan membuka peluang buat pemain tempatan untuk beraksi,” katanya yang juga bekas pemain kebangsaan dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 8:14 PM