X
BARCA ketika menurunkan Brandariz (kanan). FOTO/REUTERS
BARCA ketika menurunkan Brandariz (kanan). FOTO/REUTERS
Reuters

BARCELONA: Barcelona kekal beraksi dalam saingan Piala Raja Sepanyol selepas Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) awal pagi tadi menolak bantahan Levante yang mengatakan skuad Catalan itu menurunkan pemain yang tidak dibenarkan beraksi. 

Levante berkata, Barca menurunkan pemain pertahanan Juan ‘Chumi’ Brandariz pada saingan pusingan pertama 16 terbaik Piala Raja Sepanyol minggu lalu yang menyaksikan Levante menang 2-1 ketika dia sepatutnya menjalani penggantungan. 

Kenyataan dari persekutuan itu berkata, ketua pertandingan Carmen Perez menolak bantahan Levante kerana ia dilakukan selepas 48 jam dari tempoh akhir bantahan dibenarkan. 

"Selepas meneliti aduan dan tuduhan itu, ketua pertandingan memutuskan untuk mengekalkan keputusan perlawanan dan Barcelona akan kekal dalam undian suku akhir," kata persekutuan. 

Levante dalam satu kenyataan berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu. 

Barca yang memenangi empat edisi Piala Raja Sepanyol dan menjulang trofi itu sebanyak 30 kali, Selasa lalu memenangi perlawanan kedua 3-0 di Nou Camp dan menang secara agregat 4-2.

Pasukan bimbingan Ernesto Valverde akan berdepan Sevilla pasukan yang ditewaskan mereka dalam aksi final tahun lalu dengan keputusan 5-0 berdasarkan undian di suku akhir selepas persekutuan mengumumkan menolak aduan Levante.

Keputusan itu bermakna Barca berjaya menyelamatkan diri daripada daripada episod malang yang pernah berlaku kepada Real Madrid apabila tidak dibenarkan meneruskan aksi pada 2015-16 kerana menurunkan Denis Cheryshev dalam aksi 32 terbaik ketika menentang Cadiz. Dia seharusnya menjalani penggantungan dari musim sebelumnya ketika dia bermain bersama Villarreal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 9:02 AM