POCHETTINO ada perancangan lain jika tiada Kane. FOTO/AGENSI
Agensi

LONDON: Tottenham tidak tertekan untuk menandatangani penyerang baru walaupun kapten Harry Kane mengalami kecederaan, menurut pengurus Mauricio Pochettino.

Kane dijangka tidak turun menjalani latihan sehingga Mac depan akibat kecederaan buku lali dan Pochettino sedar ketiadaan pemain berusia 25 tahun itu boleh menjejaskan misi Spurs.

Tetapi pengurus dari Argentina itu berkata: “Saya fikir ia tidak mengubah pandangan kami terhadap skuad.”

Spurs yang berada di kedudukan ketiga Liga Perdana kini sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool akan berkunjung ke Fulham esok dalam misi mengukuhkan cengkaman dalam kelompok empat pasukan teratas.

Mereka akan berdepan Chelsea pada separuh akhir kedua Piala Carabao selepas menang 1-0 sebelum ini dan menentang Crystal Palace pada pusingan keempat Piala FA sebelum menentang Borussia Dortmund dalam saingan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Ketika ditanya sama ada dia tertekan untuk mencari pengganti Kane, Pochettino berkata: "Apabila dia salah seorang penyerang terbaik Eropah sudah pasti akan menjejaskan kemampuan pasukan.

"Kami sentiasa terbuka untuk memperbaiki skuad dan menambah pemain yang mampu meningkatkan kualiti tetapi saya fikir ia tidak memberi tekanan kepada kami untuk menandatangani pemain baharu.

"Kami tahu pasaran sekarang sangat sukar dan pada masa kami tidak mempunyai banyak pilihan untuk mencari pemain yang mampu membantu kami.”

Beliau juga yakin dengan kemampuan Dele Alli, 22, sepanjang ketiadaan Kane. “Dia salah seorang pemain muda yang menarik untuk disaksikan dan sumbangan Alli sangat besar beberapa musim sebelum ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 9:44 AM