YUTA Suzuki (tengah) diasak pertahanan Terengganu FC, Ahmad Syamim Yahya pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Mohd IV, Kota Bharu, 5 Januari lalu. FOTO Fathil Asri
BERNAMA

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan pertemuan dengan syarikat minuman berasaskan probiotik, Yakult bagi membincangkan prestasi pemain import dari Jepun Yuta Suzuki yang ditaja oleh syarikat terbabit.

Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pertemuan itu akan diadakan pada malam ini bagi membincangkan prestasi pemain tersebut yang dikatakan kurang memuaskan.

"Kita telah menghantar laporan prestasi pemain itu kepada Yakult untuk diteliti kembali untuk tindakan selanjutnya.

Kita harap Yakult dapat mempertimbang untuk mengambil keputusan yang menguntungkan semua pihak," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Suzuki sebelum ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat terbabit sebagai pemain import bagi kuota pemain Asia namun selepas tiga perlawanan persahabatan corak permainan yang ditunjukkan pemain itu tidak memberi sebarang kelebihan kepada The Red Warriors.

Malah pemerhati sukan menilai corak permainan pemain dari negara matahari terbit itu yang bermain di posisi tengah pasukan hanya setaraf pemain tempatan.

Ditanya adakah kualiti pemain tersebut kurang memuaskan dirinya selaku Presiden KAFA secara peribadi, Bibi Ramjani bagaimanapun tidak mahu mengulas lebih lanjut perkara berkenaan.

"Hanya Yakult yang boleh memperjelaskan alasan pemilihan pemain itu untuk beraksi dengan The Red Warriors," katanya.

Dalam perkembangan sama, Bibi Ramjani berkata setakat ini Kelantan masih memerlukan seorang lagi pemain import bagi mengisi kuota empat pemain asing.

"Sekarang ini kita sudah mempunyai tiga pemain membabitkan dua pemain dari Brazil iaitu Cassio Franscisco de Jesus yang akan bermain di posisi pertahanan dan Flavio Beck Junior di posisi tengah manakala Suzuki juga di barisan tengah," katanya.

Berita berkaitan:

  • Kelantan uji gandingan import, pemain muda

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 5:02 PM