CHAN Peng Soon dan Goh Liu Ying selepas tewas kepada Yuta Watanabe dan Arisa Higashino. FOTO Luqman Hakim Zubir
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Kelibat bekas jurulatih kebangsaan, Jeremy Gan jelas menghantui pasangan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas dalam aksi separuh akhir Masters Malaysia di Bukit Jalil, hari ini.

 

Peng Soon-Liu Ying terpaksa akur apabila tewas di tangan pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 15-21, 21-7, 14-21.

 

Watanabe-Higashino kini mendapat sentuhan dan bimbingan Jeremy yang bertanggungjawab membentuk gandingan Peng Soon-Liu Ying, ketika berkhidmat sebagai jurulatih di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum meninggalkan badan induk itu pada hujung 2017.

 

Peng Soon-Liu Ying mengakui taktikal yang diterapkan Jeremy ke atas Watanabe-Higashino berjaya membuatkan mereka sukar untuk bermain pada tahap prestasi sebenar.

 

“Sebenarnya, sudah banyak kali jurulatih Jeremy duduk di belakang lawan kami sebelum ini. Kami boleh rasa yang taktikal yang diterapkan kepada pemain bimbingannya sentiasa menjadi.

 

“Kami sebenarnya boleh bermain lebih baik tetapi banyak melakukan kesilapan sendiri sehingga membuatkan kami hilang fokus,” kata Liu Ying ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

 

Ini adalah kemenangan kedua yang dilakar Watanabe-Higashino ke atas Peng Soon-Liu Ying dalam lima pertemuan.

 

Kali pertama juara Seluruh England 2018 itu merekodkan kemenangan pada saingan peringkat kumpulan Jelajah Akhir Dunia BWF, Disember lalu.

 

Sementara itu, Peng Soon-Liu Ying ketika diminta mengulas keputusan BAM menolak permohonan mereka menjalani latihan bersama skuad kebangsaan sebanyak tiga kali seminggu atas dasar polisi digunakan badan induk itu berkata, ia bukan masalah yang besar.

 

“Kami akan bincang dengan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki profesional) mengenai latihan.

“Ia bukan masalah besar kerana ramai lagi pemain yang kini bergerak secara profesional dan kami pun boleh menjalani latihan bersama mereka,” kata Peng Soon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 January 2019 @ 6:35 PM