PEMAIN Real meraikan kemenangan ke atas Sevilla. -Foto AFP
AFP

MADRID: Ledakan jarak jauh Casemiro dan jaringan minit akhir Luka Modrid memastikan Real Madrid mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sevilla dalam aksi La Liga, awal pagi tadi.

Kemenangan itu juga menjadi rangsangan buat anak didik Santiago Solari menghidupkan pemburuan gelaran liga selepas kini dipisahkan tujuh mata dengan peneraju, Barcelona yang hanya akan turun menentang Leganes, hari ini.

Percubaan melencong Casemiro pada minit ke-78 dan jaringan masa kecederaan Modric dalam pertarungan antara pasukan tangga ketiga dan keempat itu, namun Real lebih mendominasi aksi di separuh masa kedua dan berhak meraih mata.

Ia bermakna, mereka memintas Sevilla dan masih berada di belakang Atletico Madrid, yang kekal di kedudukan kedua selepas mengatasi pasukan bergelut, Huesca 3-0.

Skuad kendalian Diego Simeone kekal menjadi pencabar terkuat Barca, namun ia menjadi keputusan paling cemerlang Real dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, selepas sekadar mencatat dua kemenangan daripada lima perlawanan terakhir.

“Dapat menumpaskan musuh setempat ini lebih bermakna berbanding meraih tiga mata,” kata Solari. “Keraian untuk gol pertama itu membuktikannya.”

Real sebelum ini pernah dibelasah oleh Sevilla 3-0 pada September lalu, kekalahan yang mencetuskan satu kemenangan dalam tujuh perlawanan yang mana ia juga menjadi antara punca Julen Lopetegui dipecat.

Di awal kendalian Solari, Real menunjukkan tanda kebangkitan tetapi ia tidak bertahan lama dengan mereka kini mengharungi kempen tidak konsisten.

Bagaimanapun, aksi kemas dikepalai Modric yang beraksi dalam kepala berbalut dan kemudiannya jahitan pada bahagian atas matanya mendapat pujian Solari.

“Dia amat menakjubkan,” kata Solari. “Apabila memikirkan dia beraksi dengan luka dan terpaksa mendapatkan jahitan, menunjukkan dia seorang pejuang. Malah jaringan minit akhirnya membuktikan semangat membara dia dan pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 9:04 AM