Son Heung-min
AFP

AL-AIN, Emiriah Arab Bersatu: Harapan Korea Selatan untuk mengekalkan skuad terbaik di Piala Asia terjejas selepas pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EP), Ki Sung-yueng disahkan menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan hamstring.

Pemain tengah Newcastle United berusia 29 tahun ini beraksi kurang sejam di sepanjang kejohanan, sebelum dibawa keluar ketika Korea Selatan memenangi perlawanan pembukaan menentang Filipina di Dubai.

Pengumuman itu dilakukan Korea Selatan yang juga juara dua kali dan muncul naib juara pada edisi 2015, ketika mereka bersiap sedia untuk berdepan Bahrain di pusingan 16, malam esok.

Penarikan diri Ki itu mencetuskan spekulasi kemungkinan besar pemain ini akan mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa, selepas melakukan lebih 100 penampilan sejak 2008.

Walaupun terpaksa melupakan khidmat Ki, Korea Selatan masih mempunyai pemain tonggak lain yang bakal menentukan hala tuju pasukannya.

Kepulangan seorang lagi pemain EPL yang juga bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min mampu mengisi kekosongan di barisan tengah dan menjana idea membantu barisan serangan.

Son sudah pun membuktikan kehadirannya memang tepat pada masanya ketika Korea Selatan menundukkan China pada perlawanan akhir peringkat kumpulan.

Pemain ini terlepas aksi peringkat kumpulan kerana mahu fokus kepada usaha membantu kelabnya kekal di kelompok empat terbaik Liga Perdana.

Dia mengharungi aksi terakhir di England ketika Spurs tumbang kepada Manchester United di Stadium Wembley dan terbang ke sini menyertai skuad kebangsaan.

Tahun lalu, Son juga terlepas banyak aksi bersama Spurs kerana membantu negaranya meraih pingat emas di Sukan Asia di Indonesia.

Berdasarkan prestasi semasa Son, Bahrain dilihat sukar mengekang asakan pemain lincah Spurs ini. Pada edisi 2015, pemain berusia 26 tahun ini meledak tiga gol dalam lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 4:29 PM