FOTO HIASAN.
Mohd Fitrie Muhamad


KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyifatkan sekatan geran tahunan dan subsidi kepada pasukan yang ‘keras kepala’ sebagai tindakan tepat rentetan imej Liga Malaysia (Liga-M) tercalar selepas muncul negara paling banyak kes membabitkan tunggakan gaji.

Sambil menghamburkan pujian terhadap langkah tegas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), pendekatan itu juga disifatkan sebagai pemudah cara untuk melangsaikan tunggakan sekali gus membersihkan semula reputasi Liga-M.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, langkah itu antara cadangan mereka sendiri dalam usaha mengatasi masalah itu selepas melihat usaha sebelum ini masih berlarutan hingga sekarang.

“Dengan berita itu (kes paling banyak di Asia) sedikit sebanyak menggambarkan imej bola sepak kita. Ketika FAM dan MFL buat bermacam-macam ke arah profesional, patutnya perkara ini (bayaran gaji) pun perlu seiring.

“Tempoh pun sudah diberi tapi masih ada pasukan yang berdegil dan pastinya orang sedang tengok apa yang berlaku di sini. Secara tidak langsung, ia berkait dengan minat pemain luar untuk beraksi di Malaysia.

“Pastinya ia langkah bijak untuk menyekat geran. Ia sebagai memudah cara untuk menyelesaikan hal ini kerana kalau tunggu pun, kalau pasukan berdegil kita tidak tahu bila ia boleh diselesaikan,” katanya.

Laporan kelmarin menyebut Liga-M mencipta nama selaku liga paling banyak di Asia menerima laporan membabitkan isu tunggakan gaji, membabitkan 262 kes yang sudah dipanjangkan ke pengetahuan FAM.

Jumlah itu membabitkan antara lapan hingga 10 pasukan yang beraksi pada saingan liga tahun ini yang mana lebih 60 peratus daripada jumlah kes membabitkan isu pasukan Hanelang FC, Terengganu City FC (TCFC), Kuantan FA dan Marcerra United.

Jumlah itu mungkin lebih banyak jika ditambah dengan dakwaan kes tunggakan lain yang belum dipanjangkan ke FAM, khususnya di peringkat Jawatankuasa Status atau Jawatankuasa Tatatertib.

“PFAM memuji usaha ini dan kami cukup hargai. Sekurang-kurangnya jika ada pasukan yang berkeras tidak membayar tunggakan selepas tempoh diberikan, duit geran yang disekat itu boleh terus dibayar kepada pemain berkenaan.

“Masalah ini sudah lama berlaku dan PFAM tidak mahu ia terus berlaku pada masa akan datang. Buat pasukan, uruslah kewangan dengan baik dan berbelanjalah setaraf dengan kemampuan sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 12:59 PM