WOODS akan melakukan penampilan sulung musim 2019 awal pagi Jumaat ini. FOTO/AGENSI
WOODS akan melakukan penampilan sulung musim 2019 awal pagi Jumaat ini. FOTO/AGENSI
AFP

LOS ANGELES: Bekas pemain nombor satu dunia Tiger Woods akan melakukan penampilan sulung musim 2019 awal pagi Jumaat ini pada Terbuka Farmers Insurance di samping rakan senegara dari Amerika Syarikat, Tony Finau dan Xander Schauffele.

Woods, pemenang 14 kejuaraan utama beraksi kejohanan pertamanya sejak sambutan hari jadi ke-43 bulan lalu, kembali ke lapangan Torrey Pines yang mana dia menang kejohanan itu tujuh kali dan merangkul kejuaraan utama terakhir pada Terbuka AS 2008.

Kelompok pemain utama dalam senarai 156 pemain bagi pusingan pertama dan kedua diumumkan semalam dan ia menyaksikan kali pertama Woods, Finau dan Schauffele beraksi bersama dalam satu kelompok pada jelajah itu.

Ia peluang terbaik buat Woods, kapten pasukan AS bagi Piala Presiden tahun ini, untuk menganalisis potensi skuad Amerika, dengan Schauffele di tangga kedua senarai pungutan mata manakala Finau tangga keenam.

Piala Presiden tahun ini akan diadakan di Royal Melbourne, Australia Disember depan.

Pemain ranking keenam Schauffele sudah menang dua kali pada musim 2018-19, mengunggulli Kejohanan Juara-Juara HSBC WGC di Shanghai November lalu dan Kejohanan Juara-Juara PGA di Hawaii awal bulan ini, yang mana dia merakam 11 bawah par 62 pada pusingan akhir.

Finau, di ranking ke-10, tewas kepada Schauffele menerusi penentuan playoff di China.

Satu lagi kelompok menarik bagi dua pusingan pertama menyaksikan dua pemain Australia, Jason Day dan Adam Scott selain Rory McIlroy dari Ireland Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 1:25 PM