Manny Pacquiao. FOTO AFP.
AFP

LOS ANGELES: Manny Pacquiao mengalami kecederaan kornea ketika menang ke atas Adrian Broner namun ikon tinju Filipina itu sudah semakin pulih, menurut jurucakap kemnya awal pagi tadi.

Terdahulu, New York Daily News melaporkan kem Pacquiao bimbang kecederaan itu mungkin menjejaskan kariernya selepas mengekalkan kejuaraan dunia welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA).

Malah, peninju berusia 40 tahun itu kelihatan cukup cergas ketika menonton aksi perlawanan bola keranjang NBA antara juara bertahan Golden State Warriors dan Los Angeles Lakers di Staples Center, malam tadi.

Namun kecederaan mata itu - yang mungkin disebabkan pita yang tercabut dari sarung tangan Broner - bukan satu-satunya berita buruk buat Pacquaio sekalipun mengharungi hujung minggu yang produktif.

Menurut sumber, rumah Pacquaio di Los Angeles dipecah masuk oleh pencuri ketika dia berada di Las Vegas namun belum diketahui barangan apa yang dicuri.

Ia bukan kali pertama rumah personaliti sukan ternama dipecah masuk di Los Angeles.

Pacquaio, rekodnya meningkat kepada 61-7 dengan dua seri dan 39 KO selepas kemenangan ke atas Broner, membayangkan dia akan terus bertarung sekalipun mempunyai tanggungjawab sebagai senator Filipina.

“Saya akan bertanya promoter siapa yang akan ditemui selepas ini dan kami akan mengumumkannya pada masa yang sesuai,” janji Pacquiao, yang menyatakan dia sedia kembali ke gelanggang bertemu Floyd Mayweather sekali lagi dalam usaha membalas dendam kekalahannya kepada peninju dari Amerika Syarikat itu pada 2015.

“Beritahu dia supaya kembali ke gelanggang dan kami akan bertarung,” kata Pacquiao.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 2:09 PM