Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman. FOTO NSTP.
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Penjaga gol muda negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman menyifatkan peluang dipanggil menyertai latihan skuad Bawah 19 tahun negara (B-19) sebagai batu loncatan untuk terus mencipta nama dalam arena bola sepak negara.

Dengan tempat dalam skuad B-19 kini menjadi taruhan, pemain daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) itu mengakui dia perlu memberikan yang terbaik supaya dapat terus kekal dalam skuad yang akan berdepan dua tugasan besar pada tahun ini.

"Saya akan memberikan yang terbaik dan tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Saya mengharapkan kehadiran saya dapat memberikan semangat kepada pasukan.

"Saya perlu segera serasi dengan rakan sepasukan yang lain dan berusaha bersungguh-sungguh dalam sesi latihan. Saya juga perlu segera menyesuaikan diri dengan situasi dan taktikal yang diterapkan jurulatih," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Penjaga gol muda itu antara lima yang dipanggil pengendali skuad B-19, Bojan Hodak bagi kem latihan pusat Fasa 2 selepas dua pemain daripada NFDP dipanggil minggu lalu.

Antara pemain lain adalah Muhd Najmudin Akmal Kamal Akmal, Luqman Hakim Shamsudin, Ahmad Zikri Mohd Khalili dan Ali Imran Sukari.

Dalam masa sama, Sikh juga mengakui dia tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pemain lain yang dilihat lebih berusia berbanding dirinya dan rakan sepasukannya dari program pembangunan itu.

"Tiada perbezaan antara skuad Bawah 16 tahun negara (B-16) dan B-19 cuma mungkin saya perlu lebih mengenali semua pemain yang ada dalam skuad kali ini," katanya.

Sebagai rekod, kalendar skuad B-19 tahun ini dilihat agak sibuk yang menyaksikan mereka akan bersaing pada Piala Sanix di Jepun, Mac ini.

Selepas itu, mereka akan mengharungi Kejuaraan B-19 AFF 2019 (Julai), sebelum beraksi dalam kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 (September).

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 3:33 PM