Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Azhar Ramli


KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menyambut baik kesediaan trio memanah compound negara mengadakan pertemuan dengannya dalam masa terdekat bagi menyelesaikan kemelut antara mereka.

Shapawi dalam satu kenyataan media kepada wartawan NSTP, berkata tindakan itu selari dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Sukan Memanah yang sebelum ini memutuskan MSN perlu mengadakan pertemuan dengan atlet terbabit bagi memberikan penerangan kepada mereka berikutan sukar mengikut program latihan secara sepenuh masa di Kompleks Sukan Bukit Jalil kerana mempunyai komitmen lain.  

"Insya Allah, saya memang mengharapkan mereka dapat hadir pada latihan pusat pertama minggu lalu supaya memudahkan kita berbincang mengenai program latihan bersesuaian dengan mereka.

"Tetapi, kita dikejutkan oleh berita penarikan diri dan sudah tentu saya tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Sehubungan itu, sekiranya ada hasrat untuk ketiga-tiga pemanah mengadakan perbincangan sebelum membuat apa-apa keputusan, sudah tentu saya mengalu-alukannya," katanya.

Media hari ini melaporkan trio compound negara akan bersemuka dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu membabitkan mereka.

Tiga pemanah negara diketuai Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip membuat kejutan minggu lalu apabila enggan lagi mewakili negara di pentas antarabangsa.

Dilaporkan elaun bulanan yang ditawarkan sebanyak RM500 sebagai atlet separuh masa menyumbang kepada keputusan trio negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 9:26 PM