GUARDIOLA tidak akan meneliti akaun media sosial Mendy. FOTO/AGENSI
GUARDIOLA tidak akan meneliti akaun media sosial Mendy. FOTO/AGENSI
AFP

MANCHESTER, England: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan beliau tidak akan meneliti akaun media sosial Benjamin Mendy tatkala pertahanan Perancis itu kembali beraksi selepas terpaksa berehat dua bulan susulan kecederaan.

Mendy, yang terlepas kebanyakan aksi musim lalu berikutan kecederaan ligamen makin dikenali disebabkan personalitinya yang gemar menarik perhatian menerusi Instagram dan Twitter sejak perpindahannya ke Manchester dari Monaco dengan nilai £52 juta (RM278 juta) pada Januari 2017.

Pada awal kempen musim ini, Guardiola menasihatkan pemenang Piala Dunia 2018 itu untuk ‘melupakan sedikit sosial media’ sekali gus ‘memberi tumpuan terhadap bola sepak.’

Begitupun, pengurus dari Sepanyol itu mengakui kalah dalam pertarungan itu dan mengalu-alukan karakter Mendy yang mudah disenangi rakan sepasukan.

“Saya bukannya tidak gembira dengan Mendy,” kata Guardiola. “Saya tidak berada di sini untuk mengubah mentalitinya kerana ia adalah kehidupannya. Kami mengetahuinya apabila kami membawanya ke sini.

“Dia aktif di media sosial dan itulah dirinya. Kami cuba untuk meyakinkannya tapi saya bukan bapanya. Saya gembira dengan Benjamin tapi sedih dia tidak dapat bermain, kecederaan berlaku.

“Tapi dengan cara dia berlatih, cara dia di bilik persalinan, anda tidak dapat membayangkan betapa sayangnya orang terhadapnya dan gembira berada di sampingnya.

“Satu-satunya perkara yang saya mahu adalah kami mahu lebih menggunakan khidmatnya. Kami fokus terhadap kerja dan apa yang dia perlu lakukan. Dia masih muda dan mempunyai potensi menakjubkan dan dia boleh menjadi salah seorang pertahanan kiri terbaik, tapi ia bergantung kepadanya.”

Ketiadaan Mendy mengundang pening kepala buat Guardiola yang ketika ini tidak memiliki pertahanan kiri sejati dalam skuad kendaliannya.

Fabian Delph, Oleksandr Zinchenko dan Aymeric Laporte mengisi kekosongan itu tetapi kehadiran semula Mendy pasti menambah kekuatan City bagi mencabar kejuaraan pada baki saingan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 8:01 AM