Gonzalo Higuain dijangka sertai Chelsea.
AFP

MILAN: Penyerang Poland, Krzysztof Piatek sedia melengkapkan perpindahan bernilai 35 juta euro (RM164 juta) ke AC Milan sekali gus membenarkan pemain Argentina, Gonzalo Higuain untuk menyertai Chelsea, menurut beberapa laporan media di Itali, semalam.

Piatek yang beraksi dengan kelab Serie A, Genoa dilaporkan bersetuju dengan perjanjian selama lima tahun dan dikatakan akan memperoleh gaji 2 juta euro (RM9.4 juta) semusim ditambah dengan bonus berkaitan prestasi.

Pemain berusia 23 tahun itu yang sudah menjaringkan 19 gol dalam semua pertandingan buat Genoa musim ini dijangka akan berada di Milan, hari ini bagi pemeriksaan perubatan, menurut laporan Gazzetta Dello Sport dan Sky Sports Italia.

Dia menandatangani kontrak empat tahun bersama Genoa musim panas lalu dari kelab Poland, Cracovia dengan yuran dilaporkan 4 juta euro (RM18.79 juta).

Dianggap penyerang yang memiliki prospek cerah, Piatek meledak empat gol - termasuk hatrik dalam tempoh 19 minit permainan - pada penampilan sulungnya ketika Genoa menewaskan Lecce 4-0 dalam saingan Piala Itali.

Dia sudah mengumpul 13 gol dalam saingan Serie A musim ini, kurang satu berbanding penyerang bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.

Sejurus perpindahan Piatek dimuktamadkan, Milan dilaporkan akan membenarkan penyerang berusia 31 tahun, Higuain meninggalkan kelab itu.

Bekas penyerang Real Madrid dan Napoli itu mengharungi musim yang sukar di Milan sejak perpindahannya dari Juventus untuk memberi ruang kepada Ronaldo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 11:35 AM