KAROLINA Pliskova. FOTO AFP.
AFP

MELBOURNE: Serena Williams mengucapkan selamat tinggal kepada Terbuka Australia, hari ini selepas tewas dalam pertarungan tiga set menentang pilihan ketujuh, Karolina Pliskova pada suku akhir.

Pemain Republik Czech, Pliskova menang 6-4, 4-6, 7-5 untuk menempah pertemuan separuh akhir bertemu sensasi Jepun yang juga pilihan keempat Naomi Osaka.

Pliskova, 26, terselamat sekalipun berdepan empat mata penamat pada set ketiga selepas Serena mendahului 5-1 sebelum meraih kemenangan sukar dalam tempoh dua jam 10 minit.

“Saya hampir berada di bilik persalinan, kini saya berdiri di sini sebagai pemenang. Perasaannya cukup hebat,” kata Pliskova mengulas kemenangan yang meranapkan harapan legenda Amerika Syarikat itu untuk menjulang gelaran Grand Slam ke-24.

“Minda saya sudah berada di bilik persalinan. Saya tidak bermain dengan baik pada set ketiga tapi saya berfikir terus mencuba, ketika perlawanan di kedudukan 5-2. Dia tampak sedikit goyah pada penghujung jadi saya mengambil peluang dan menang.”

Serena, 37, mengharungi kempen yang menakjubkan di awal kejohanan termasuk menyingkirkan pemain nombor satu dunia, Simona Halep pada pusingan keempat.

Begitupun berdepan Pliskova yang menjuarai kejohanan pembuka musim di Brisbane, dia tampak kurang bersemangat sebelum tewas set pertama selepas melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya sebelum bangkit untuk menang set kedua tetapi longlai di set ketiga.

Mengulas perlawanan menentang Osaka yang juga juara Terbuka Amerika Syarikat, Pliskova yang juga bekas pemain nombor satu dunia berkata, kemenangan ke atas Serena memberikannya keyakinan.

“Dia berbahaya tapi tiada sesiapapun lebih berbahaya berbanding Serena,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 2:39 PM