Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.


KUALA LUMPUR: Nama syarikat pengurusan acara atau kontraktor yang menang tender terbuka untuk menjadi penganjur siri  perlumbaan Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL) akan diumumkan selewat-lewatnya, Jumaat ini.

Kontraktor terbabit salah satu daripada lima syarikat yang menghadiri sesi temu duga dan membentangkan kertas kerja panel pemilihan dianggotai wakil KBS, Kementerian Kewangan, Kementerian Pelancongan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), pada Khamis lalu.

Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas semua pihak berkepentingan berpuas hati dengan penerangan, jaminan dan keupayaan syarikat terbabit untuk menguruskan siri perlumbaan jelajah terbesar di Asia berkenaan mengikut jadual ditetapkan.

"Insya Allah kita akan umumkan (nama syarikat penganjur LTdL 2019) selewat-lewatnya, petang lusa (Jumaat ini). Kita tidak boleh tunda LTdL 2019 kerana ia sudah dimasukkan dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Jika pihak penganjur mahu menangguhkan perlumbaan LTdL 2019 mereka perlu mendapatkan kelulusan atau persetujuan UCI terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Sebelum ini, media dilaporkan syarikat yang berminat menganjurkan perlumbaan LTdL dialu-alukan untuk tampil mengemukakan tawaran kepada KBS.

PKBM sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap saingan berstatus 2HC (hors class) itu kerana tempoh dilihat semakin suntuk untuk melaksanakannya dengan perlumbaan didaftarkan pada Mac tahun depan.

Terdahulu, Lokman berkata LTdL 2019 tetap dilaksanakan kerana ia bukan sahaja penting kepada sukan terbabit namun dalam aspek mempromosikan negara iaitu pelancongan sukan.

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Operasi LTdL 2018, M Kumaresan ketika dihubungi wartawan sukan NSTP mengesahkan syarikat Ciclista Sports Sdn Bhd, tidak menawarkan diri untuk menjadi syarikat pengurus acara LTdL 2019 kerana masa terlalu suntuk dan enggan mengambil risiko.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 4:47 PM