PENYERANG Juventus, Gonzalo Higuain. FOTO Agensi
AFP

LONDON: Chelsea sudah berada pada peringkat akhir untuk menandatangani penyerang Juventus, Gonzalo Higuain, kata ketua jurulatih Maurizio Sarri hari ini, ketika dia tampak mahu memperkuatkan barisan depannya.

Sarri sebelum ini melatih Higuain di Napoli apabila dia menjaringkan rekod Serie A, 36 gol dalam kempen liga pada 2015/16.

Ketajaman untuk mendapatkan gol itulah yang tampak hilang di Chelsea kebelakangan ini dengan Sarri kurang yakin dengan Alvaro Morata dan Olivier Giroud menyebabkan Eden Hazard diberikan peranan tidak begitu sesuai dengannya di bahagian serangan tengah.

“Hanya beberapa jam lagi untuk menandatangani kontrak hari ini,” kata Sarri.

Chelsea akan menentang Tottenham pada saingan separuh akhir Piala Liga awal pagi Jumaat ini di Stamford Bridge, ketika mereka mahu menukar defisit 1-0 untuk mara ke final pada 24 Februari ini.

Skuad Blues ada masa sehingga tengah malam waktu tempatan bagi mendaftarkan Higuain bagi perlawanan itu namun Sarri berkata “ia mustahil” bagi pemain antarabangsa Argentina itu untuk melakukannya.

“Kami harap dia akan membawakan kami gol, dia akan mula menjaringkan gol buat kami,” kata Sarri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 11:45 PM