Liridon Kriniqi (kiri) pemain import MU musim ini.
Liridon Kriniqi (kiri) pemain import MU musim ini.
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) akan mengadakan majlis pelancaran jersi baharu skuad itu di Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Sabtu ini.

Setiausaha Kehormat MUSA, Farhan Ibrahim berkata, majlis pelancaran bakal disempurnakan Ketua Menteri Adly Zahari dan semua pemain termasuk barisan import dan tempatan akan diperkenalkan kepada peminat setia Hang Tuah.

"Semua penyokong dan warga negeri ini dipelawa hadir untuk memeriahkan program yang bermula pada jam 2 hingga 4 petang dan ia satu titik permulaan bagi membakar semangat pemain, pengurusan dan penyokong sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia.

"Apa yang penting, MUSA yang berwajah baharu dengan pasukan lebih mantap memerlukan sokongan semua peminat dari segenap lapisan masyarakat memandangkan bola sepak adalah sukan nombor satu di negara dan dunia," katanya.

Pada majlis itu, penyokong boleh menggunakan kesempatan untuk bertemu dan beramah mesra bersama pemain baharu pasukan berkenaan.

Farhan berkata, penaja pasukan juga akan diperkenalkan kepada umum sekali gus menyemarakkan kehadiran mereka bersama pasukan kali ini.

MU yang turut diperkuat bekas kapten kebangsaan Shukor Adan, Razman Roslan, Safiq Rahim, Khairul Fahmy Che Mat serta import berpengalaman, Anselmo Casagrande (Brazil) dan Liridon Kriniqi (Kosovo) bakal menjadi antara pasukan pencabar terkuat bagi saingan 2019.

Malah, kehadiran pemain tempatan yang pernah gah di persada liga termasuk Nazrin Nawi, R Gopinathan, Raimi Md Noor dan Saiful Ridzuan Selamat antara aset bernilai untuk skuad itu dihormati lawan.

Kesungguhan MUSA untuk melakar kejayaan jelas dengan penyenaraian barisan jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan dan pembantunya, Nidzam Adzha dan Asri Ninggal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:35 PM