PENGARAH Maybank, Datuk R Karunakaran (tengah) pada majlis pelancaran Kejohanan Golf Maybank di Saujana Hotel, Subang. FOTO Syarafiq Abd Samad
Naqib Nor Said


SHAH ALAM: Jaguh golf negara, Gavin Kyle Green mengetuai senarai 13 pemain tempatan yang akan berentap pada saingan edisi keempat Kejuaraan Maybank di Saujana Golf & Country Club bermula 21 hingga 24 Mac nanti.

Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan US$3 juta (RM 12.4 juta) itu seperti tahun lalu turut membariskan 60 pemain terbaik masing-masing daripada Jelajah Asia dan Eropah selain 15 pemain yang berada dalam kelompok 150 terbaik dunia.

Pengarah Maybank, Datuk R Karunakaran berkata walaupun berjaya menarik penyertaan pemain handalan dunia pihaknya tidak pernah lari daripada objektif penganjuran dalam menjadikan Kejuaraan Maybank sebagai platform buat pemain tempatan meraih pendedahan.

"Kejuaraan Maybank adalah kejohanan yang unik, yang boleh dianggap sebagai 'Dimana pemain terbaik dunia bertemu dengan ramai pemain terbaik dunia’ sudah menyatakan persetujuan untuk menghangatkan saingan kali ini.

"Selain menarik penyertaan bintang dunia kami juga menawarkan slot untuk 10 pemain terbaik tempatan bagi Jelajah Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM), jadi mereka berpeluang memperoleh pendedahan beraksi dalam saingan bertaraf dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan barisan 13 pemain tempatan yang akan mengibarkan cabaran Malaysia dalam kejohanan yang mendapat pengiktirafan Jelajah Eropah dan Asia itu.

Selain Gavin yang kini beraksi dalam kalendar Jelajah Asia, Malaysia juga boleh bergantung harap terhadap sentuhan pemain berpengalaman Ben Leong dan Nicholas Fung.

Pemenang Jelajah PGM tahun lalu, Shahrifuddin Ariffin pula mengetuai senarai 10 pemain terbaik jelajah berkenaan yang turut disertai Danny Chia, Amir Nazrin, Sukree Othman, Kim Leun Kwang, Arie Irawan, Ramasamy Nachimuthu, Wilson Choo, Kenneth De Silva dan Kemarol Baharin.

Namun, tumpuan pastinya terarah kepada Shahrifuddin yang berusia 20 tahun selepas mula memenangi beberapa kejohanan Jelajah PGM selain meraih gelaran sulung dalam kejohanan diiktiraf Jelajah Pembangunan Asia (ADT) iaitu Kejuaraan Labuan, Ogos lalu.

Saingan kali ini juga dijangka lebih dramatik selepas Saujana Golf & Country Club turut menaik taraf lapangan Cobra dengan menyalin permukaan rumput yang baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 12:08 AM