BIBI RAMJANI ILIAS KHAN
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my

KOTA BHARU: Teka-teki mengenai senarai lengkap skuad The Red Warriors (TRW) akan diketahui dalam majlis pelancaran jersi dan pengenalan barisan pemain di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam esok.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, majlis itu akan bermula jam 8.30 malam dan menyeru penyokong TRW hadir beramai-ramai.

“Datanglah untuk memeriahkan majlis sebagai tanda sokongan kepada pasukan TRW. KAFA akan memperkenalkan jersi, pemain dan mengumumkan senarai penuh penaja rasmi pasukan negeri ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bibi Ramjani juga mempelawa peminat mengunjungi kaunter jualan syarikat barangan sukan tempatan PUC, pas bermusim KAFA serta syarikat pengeluar minuman kesihatan, Yakult.

“Penyokong boleh menyaksikan dikir barat, menyertai kuiz bola sepak, cabutan bertuah dan mengunjungi gerai jualan. Program sampingan ini diadakan bagi menghargai sokongan peminat sebelum aksi Liga Malaysia yang bakal bermula 2 Februari depan,” katanya.

Musim ini TRW mengekalkan seorang importnya iaitu,Cassio Francisco De Jesus dan menampilkan Flavio Beck (Brazil) dan Mustafa Zazai dari Afghanistan sebagai pemain terbaharu pasukan itu.

Selain itu peminat setia turut dapat menyaksikan bekas penyerang Melaka United (MU) Fauzi Roslan atau lebih dikenali Kojie, serta barisan pemain tempatan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 7:19 PM