ONG KIM SWEE
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Bawah 22 Tahun Negara (B-22), Datuk Ong Kim Swee mengakui bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk masalah keengganan pasukan melepaskan pemain untuk menghadapi Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Kemboja, bulan depan.

Sudah lali dengan situasi itu, beliau enggan terlalu memikirkan perkara itu tetapi sebaliknya akan mencari formula terbaik bagi mempersiapkan pasukan seandainya tidak dapat membariskan skuad terbaik di kejohanan itu nanti.

“Saya sudah hadapi situasi itu (pasukan enggan lepaskan pemain) banyak kali sebelum ini. Saya tidak lihat ia sebagai isu yang besar.

“Sebaliknya kita kena ada perancangan yang baik. Lihat seperti Australia, meskipun pasukan kebangsaan mereka sedang beraksi di Piala Asia ketika ini tetapi liga di negara mereka tetap juga berjalan.

“Maknanya kita kena cari formula lain dan saya sudah beberapa kali melaluinya. Ia bergantung pemain saya inginkan, namun sudah tentu mana-mana jurulatih di dunia ini mahukan pemain terbaik,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai saingan di Kemboja nanti, pengendali kelahiran Melaka itu mahu menjadikan kempen berkenaan sebagai pentas terakhir buat anak didiknya membuktikan keupayaan mereka sebelum mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di halaman sendiri, Mac ini.

Jelasnya, pemilihan pemain di Kemboja itu adalah melalui dua aksi sebelum ini iaitu di Kejohanan B-21 Piala Newspaper 2018 di Vietnam dan siri persahabatan di Bangkok, baru-baru ini.

“Bagi pasukan B-23, saya akan memberi pendedahan terutama kepada pemain yang telah saya pilih dari Vietnam dan siri persahabatan di Bangkok. Pemain ini saya akan beri mereka peluang untuk membuktikan keupayaan mereka sebelum saya memikirkan senarai terbaik untuk kelayakan AFC.

“Kemungkinan besar skuad AFF dan AFC akan ada perbezaan ketara namun seperti saya katakan saya masih lagi menilai beberapa pemain untuk diberi peluang sekali lagi atau pun saya akan mencari pemain baru,” katanya.

Dalam saingan AFF yang bermula pada 18 Februari ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kemboja, Indonesia dan Myanmar dengan dua pasukan teratas akan layak ke separuh akhir.

Bagi kempen kelayakan AFC pula, skuad kendalian Kim Swee berada dalam Kumpulan J bersama pasukan China, Laos dan Filipina yang dijadual berlangsung dari 22-26 Mac ini.

Kejohanan AFC ini amat penting buat skuad muda negara kerana ia menyediakan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 kepada empat pasukan terbaik dalam pusingan akhir di Thailand, Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 January 2019 @ 7:23 PM
Skip this ad x