Azlan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR: Jaguh bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah menimbang kemungkinan untuk tidak mempertahankan gelaran Mr Universe dan Asia pada tahun ini.

Jelas atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 46 tahun itu, dia menjangkakan sekali lagi berdepan kekangan kewangan dalam usaha mempersiapkan diri untuk mempertahankan gelaran pada dua kejohanan itu.

"Sudah pasti misi utama saya memastikan gelaran keempat Mr Universe dan kelima bagi Mr Asia namun saya jangka kali ini lebih perit. Bukan saja dari segi saingan atlet negara lain namun aspek kewangan yang tinggi bagi membolehkan diri berada pada tahap terbaik.

"Saya hampir ‘terduduk’ ketika saingan Mr Universe 2018 berbaki empat minggu susulan masalah kewangan. Bagaimanapun dengan bantuan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman) saya disalurkan dengan wang ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan kejayaan pada 2017.

Tambah Syarul Azman, dia mengharapkan bantuan dapat diberikan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kerajaan negeri untuk membolehkannya mengatur perancangan secepat mungkin menghadapi dua kejohanan itu.

"Saya mengharapkan MSN dapat menimbangkan elaun bulanan bagi meringankan beban yang ditanggung. Sebagai juara dunia tiga kali, saya berharap mendapat perhatian MSN dalam perkara ini. Pada masa sama berharap pihak berkaitan di Wilayah Persekutuan dapat memainkan peranan membantu saya sebagai anak jati Kuala Lumpur.

"Terus-terang saya merasakan lebih baik saya bersara kerana melihat pencapaian bergelar juara dunia dan Asia seolah-olah tidak diiktiraf di tempat sendiri," tambahnya.

Sejak beberapa tahun lalu, Syarul Azman dilihat pengganti kepada Sazali Samad selepas mempamerkan prestasi konsisten meraih gelaran di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 5:00 PM