MANUEL PELLEGRINI
MANUEL PELLEGRINI
AFP

LONDON: Manuel Pellegrini menyatakan beliau berasa malu selepas West Ham United dikejutkan dengan kekalahan 2-4 di tangan AFC Wimbledon pada aksi pusingan keempat Piala FA, awal pagi tadi.

Skuad Hammers mungkin menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris dan Wimbledon di tempat tercorot League One, tetapi ia tidak memustahilkan mereka mendahului 3-0 sebelum rehat dengan Scott Wagstaff meledak dua gol selepas Kwesi Appiah membuka tirai jaringan.

Pengurus West Ham, Pellegrini membawa masuk pemain gantian Lucas Perez dan Felipe Anderson selepas rehat dan masing-masing berjaya menjaringkan satu gol untuk merapatkan jurang 2-3.

Namun, pemain muda Wimbledon, Toby Sibbick melengkapkan kemenangan pasukan itu selepas masuk sebagai pemain gantian untuk menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.

“Adakah saya sangat marah pada waktu rehat? Ya, sudah pasti, saya malu dengan permainan mereka.

“Saya tidak menjangkakan perkara ini. Sikap pemain berdepan lawan yang bermain dalam liga bawahan tapi dalam bola sepak anda boleh tewas dua atau tiga gol.

“Mereka bermula dengan apa yang seharusnya kami lakukan. Apabila anda bermain dengan tahap seperti itu berbekalkan kualiti pemain yang dimiliki mereka, kami tidak berada pada tahap yang sama. Amat memalukan,” kata Pellegrini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 1:55 PM