JUSTIN ROSE
JUSTIN ROSE

LOS ANGELES: Pemain nombor satu dunia, Justin Rose memadam kekecewaan dua double bogey apabila mencatat tiga bawah par 69 sekali gus kekal selaku pendahulu Terbuka Farmers Insurance dalam Jelajah PGA AS dengan kelebihan tiga pukulan.

Enam birdie dan eagle yang dilakukannya di lapangan South Course di Torrey Pines menyaksikan pemain sensasi England itu kekal di tempat pertama dengan catatan keseluruhan 18 bawah par 198.

“Saya beraksi dengan baik dan hanya perlu kekalkan momentum ini. Ia permulaan baik untuk 2019,” kata Rose yang membenam 20 birdie minggu ini.

Rose selesa tiga pukulan di depan Adam Scott dari Australia yang melakukan tujuh birdie dan eagle untuk keseluruhan 15 bawah par 201.

Pendahulu hari pertama, Jon Rahm dari Sepanyol di tangga ketiga dengan 202 selepas melakukan empat bawah par 68. Ia diikuti pemain Amerika Syarikat, Doug Ghim 203 dan Talor Gooch 204.

Rose pada awalnya mempunyai kelebihan enam pukulan tetapi double bogey kedua yang dihadapinya di lubang ke-14 menjejaskan catatannya.

Sementara itu Scott berkata: “Ia lapangan yang sukar. Tapi jika anda dapat melakukan pukulan dengan baik, anda akan memperoleh keputusan yang bagus,” kata Scott yang juga juara Masters AS 2013. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 2:34 PM