Tarragona sandaran TRW untuk robek benteng lawan. FOTO Ihsan FB Peminat
Attirmidzie Rahman


KOTA BHARU: Masalah ketumpulan penyudah skuad Kelantan diyakini mampu diatasi dengan kehadiran bekas penyerang Ansan Greeners, Raul Tarragona.

Penyerang kelahiran Uruguay berusia 32 tahun itu memiliki rekod cemerlang apabila menyumbat 25 gol sepanjang bersama kelab Korea Selatan yang beraksi dalam K League 2 itu musim lalu.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya optimis kehadiran Raul akan menamatkan masalah ketumpulan penyudah jentera serangan The Red Warriors (TRW).

“Kita menyasarkan pasukan mampu menamatkan saingan dalam kelompok dua terbaik Liga Perdana.

“Justeru, barisan kejurulatihan dan pemain perlu berkerja keras membentuk pasukan mantap bagi mencapai misi itu sekali gus membolehkan TRW kembali beraksi ke Liga Super pada 2020,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Jersi Pasukan Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani mempelawa individu dan syarikat berminat menaja TRW tampil membantu KAFA yang masih kekurangan dana RM2 juta lagi.

"KAFA juga dalam proses memperkasakan aspek pengurusan dalam masa terdekat. Insya-Allah pada 2 Februari ini, KAFA bersedia mengumumkan transformasi yang bakal dilaksanakan persatuan ini.

"Musim ini KAFA menerima enam penaja iaitu, Rohm Wako Elektronik, Konsortium E-Mutiara, Exa Supply, PUC Sports,Excel Printing dan Raza Premium Auto.

"Terima kasih diucapkan kepada semua penaja TRW yang sentiasa menyokong usaha memulihkan kembali reputasi badan induk bola sepak negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 3:45 PM