DAVIES (kanan) yakin Pahang miliki kekuatan seimbang di setiap posisi. FOTO/NSTP


KUANTAN: Kapten Pahang, Matthew Davies teruja kerana skuad itu memiliki kekuatan seimbang bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Pemain berumur 24 tahun itu berkata, kombinasi antara pemain semakin positif bagi memastikan skuad Tok Gajah mampu memberi cabaran dalam saingan musim 2019. 

Justeru, dia dan rakan sepasukan hanya fokus memberi  persembahan 100 peratus untuk melakar kejayaan membanggakan. 

"Kami akan mempamerkan prestasi terbaik untuk mencatat keputusan memberangsangkan kerana kombinasi pemain musim ini amat baik dan memiliki kekuatan seimbang di semua posisi. 

"Kami akan memastikan kerjasama pasukan dapat direalisasikan pada setiap perlawanan untuk mencerahkan peluang Pahang meraih kejayaan," katanya.  Musim lalu, Davies yang menyertai Pahang sejak 2015 membantu skuad itu menjulang Piala FA dan menduduki tangga keempat Liga Super manakala terkandas di suku akhir Piala Malaysia. 

Namun, musim ini kembalinya penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme yang pernah menyarung jersi Tok Gajah pada 2014 dan 2015 bakal menambah ketajaman di bahagian serangan. 

Pada masa sama, Nwakaeme pula akan bergandingan dengan Jose Eduardo atau `Ze Love', serta dibantu tiga lagi pemain import iaitu Saddil Ramdani (Indonesia), Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 3:58 PM