GUARDIORLA (tengah) anggap Kompany sudah terlalu lama bersama City. FOTO/EPA
AFP

LONDON: Kapten Manchester City, Vincent Kompany tidak mengharungi cukup perlawanan sejak beberapa musim lalu untuk dianugerahkan kontrak baharu disebalik sumbangan pentingnya terhadap kejayaan kelab, kata pengurus Pep Guardiola.

Kompany, yang kontraknya berakhir pada musim ini terlepas beberapa perlawanan berikutan masalah otot sejak beberapa musim lalu dengan Guardiola berkata lanjutan kontraknya bersama kelab itu akan dibincangkan bersama pemain dan ejennya.

“Dia menakjubkan, tetapi realitinya adalah sejak lima tahun lalu dia amat kurang bermain,” kata Guardiola. “Kami tidak mempunyai keraguan mengenai kualitinya, kami merindui khidmatnya apabila dia tidak boleh bermain.

“Dia penting, dia adalah kapten kami dan di atas padang, dia memberikan kami tambahan yang hanya beberapa pertahanan tengah di dunia mampu berikan.

“Itu adalah situasi yang kami perlu letakkan ketika perbincangan dan kelab akan berbincang dengan ejennya dan mendapatkan keputusan yang bagus untuk kedua-duanya.”

Kompany sudah berada di kelab itu sejak 2008 dan memenangi tujuh trofi utama termasuk tiga Liga Perdana tetapi Guardiola berkata sebarang keputusan untuk melanjutkan kontrak pertahanan Belgium itu tidak boleh dipengaruhi nilai sentimental.

“Kelab mengetahui yang isu sentimental adalah penting,” kata pengurus dari Sepanyol itu. “Ia tidak penting dalam membuat keputusan, tetapi mereka perlu merasainya, terutama untuk pemain yang sudah berada di sini untuk tempoh agak lama dan membantu kami mencapai apa yang kami miliki sekarang.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 3:09 PM