Russel Alexander Nasir Taib. - Ihsan FB Russel
Aida Adilah Mat


KUALA LUMPUR: Penentuan dalam perebutan mewakili negara acara pecut di temasya Sukan SEA Filipina 2019 kini semakin sengit dengan kehadiran muka baru Russel Alexander Nasir Taib.

Russel yang sudahpun melayakkan diri dalam acara 200 meter ke temasya dwi tahunan itu seakan memberi amaran awal buat jaguh pecut sedia ada seperti Khairul Hafiz Jantan, Johnathan Nyepa dan Muhammad Aqil Yasmin.

Dua tahun lalu di Sukan SEA Kuala Lumpur, acara pecut 100 meter dan 200m diwakili Khairul Hafiz dan Johnathan.

Namun bagi Aqil yang pernah menewaskan Russel ketika Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tahun lalu, menganggap ia satu pertanda baik buat dirinya terus berusaha meningkatkan prestasi bagi memastikan tempat ke Sukan SEA terjamin.

Dua kali pernah bersaing dengan Russel atlet berdarah kacukan Malaysia-Australia di SUKMA Sarawak dan Perak, Akil berkata, kehadiran Russel bukan satu masalah bagi dirinya sebaliknya ia meninggalkan impak positif.

"Saya akan cuba memberi yang terbaik dalam setiap kejohanan disertai. Tidak kiralah siapa dia yang pasti saya akan cuba kekal fokus untuk terus berjaya.

"Biarpun pernah menewaskan Russel dua kali, tapi saya tetap anggap dia sebagai cabaran untuk 2019. Saya perlu berusaha lebih gigih lagi untuk layak ke Sukan SEA," katanya.

Mengulas mengenai sasaran 2019 Aqil berkata, selain daripada Sukan SEA dia berharap dapat terpilih untuk beraksi di Kejohanan Trek dan Padang Asia yang akan berlangsung pada April ini.

Bagaimanapun, kejohanan Perak All-Comers Februari ini dan Terbuka Malaysia (Mac) akan menjadi medan untuk Aqil yang mencatat catatan terbaik dalam acara 100m itu.

Terdahulu Russel yang kini melanjutkan pelajaran di University of The Sunshine Coast, Queensland, Australia semakin mengejar rapat rekod kebangsaan acara 200m milik jaguh pecut Asia Tenggara Khairul Hafiz Jantan.

Hanya 0.04s memisahkan Russel dengan rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz 20.90s apabila mencatat 20.94s di Kejohanan Olahraga Shield Series di Pusat Olahraga dan Sukan Queensland, Australia minggu lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 5:54 PM