KAPTEN Jepun, Maya Yoshida (kanan). FOTO EPA
AFP

Al-AIN, Emiriyah Arab Bersatu: Kapten Jepun, Maya Yoshida berteriak gembira selepas Blue Samurai membenam Iran untuk melangkah ke final Piala Asia, semalam.

Selepas meraikan kemenangan 3-0 mengatasi pasukan pilihan kejohanan, Iran di Al-Ain, Yoshida menuntut skuad Jepun untuk menyelesaikan tugas di final sama ada menentang Qatar atau tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu bagi merangkul kejuaraan kelima mereka.

“Kami tidak boleh berpuas hati dengan menundukkan Iran,” kata pertahanan Southampton itu. “Kami masih ada satu perlawanan yang perlu dimenangi.

“Jika kami tewas, semua kerja keras yang dilakukan tidak memberi apa-apa, jadi kami perlu menamatkannya. Kami datang bersama sebagai satu pasukan yang kuat dan perlu kekal berjuang sebagai satu pasukan.”

Yoshida mengakui berjaya beraksi dengan tenang bagi mengelak daripada menerima kad merah.

“Jika saya dibuang padang dan terlepas aksi final, ia akan menjadi perkara yang terlalu teruk,” katanya.

“Apa yang penting adalah untuk menikmati kejohanan ini dan berharap kami boleh teruskan peningkatan. Kami mahu pastikan kemenangan di final dan muncul juara Asia sekali lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 10:44 PM