BEBERAPA tokoh dikaitkan dengan jawatan CEO ISN. FOTO/NSTP
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh kini dikaitkan untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) selepas lebih dua bulan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu 'tanpa nakhoda' berikutan peletakan jawatan Mohd Khairi Zawi.

Walaupun faktor pengalaman lebih terarah kepada bekas CEO ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, namun dua daripada sembilan calon lain iaitu Pengarah Teknikal Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Profesor Madya Dr Ahmad Naim Ismail dan Timbalan Pengarah Seksyen Perkhidmatan Sosial, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Faedzal Md Ramli turut disebut-sebut menjadi calon utama.

Menurut sumber, pihak KBS sudah meneliti latar belakang sembilan calon yang disenarai pendek itu.

"Selain Dr Ramlan yang dikatakan memang akan kembali ke ISN walaupun belum dapat dipastikan lagi jawatan beliau, terdapat beberapa calon lain yang dipertimbangkan.

"Jika dilihat dari faktor usia (yang lebih muda) tidak dinafikan Dr Faizal yang juga bekas Setiausaha Agung Majlis Kebajikan & Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia mungkin menjadi pilihan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), tetapi beliau langsung tiada pengalaman dalam sukan berprestasi tinggi.


DR Ramlan pernah memangku jawatan CEO ISN. FOTO/NSTP

"Berbeza dengan Dr Naim yang dilihat lebih sesuai kerana berpengalaman luas dalam sukan selain pernah berkelana hingga ke United Kingdom dan Amerika Syarikat, malah beliau pastinya sedikit sebanyak mengetahui dasar sukan," katanya.

Selain mereka, calon lain terdiri daripada Dr Victor Feizal Abdul Shatar Knight, Pengarah Akademi Kecergasan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Dr Mohar Kassim dan Dr Mohamad Faithal Hassan (pensyarah kanan di Universiti Malaya).

Bagaimanapun, baki tiga calon lagi tidak dapat dipastikan dengan dijangka ISN akan menerima CEO baharu pada Jumaat ini (1 Februari).

"Mungkin satu atau dua hari lagi akan diumumkan, tetapi tiada kepastian sebenar siapa yang akan dilantik menjadi CEO baharu itu," tambahnya.

Sementara itu, dalam diam KBS juga sedang melakukan rombakan besar-besaran terhadap ISN apabila dikhabarkan seramai 63 daripada 70 pegawai asing yang berkhidmat di bawah Program Podium sudah meninggalkan negara selepas tidak ditawarkan sambungan kontrak.

Baki tujuh pegawai dijangka menyusul selepas ini tatkala KBS kini lebih menekankan dasar baharu yang mengutamakan kepakaran anak tempatan selain satu daripada usaha langkah penjimatan.

Senarai Calon CEO ISN

1. Professor Madya Dr Ahmad Naim Bin Ismail (Pengarah Teknikal Kesatuan Ragbi Malaysia)

2. Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz (Bekas CEO ISN)

3. Dr Victor Feizal Abdul Shatar Knight (Pengarah Pusat Penyelidikan Pertahanan Kimia UPNM)

4. Prof Dr Mohar Kassim (Pengarah Akademi Kecergasan Pertahanan UPNM)

5. Dr Mohamad Faithal Hassan (pensyarah kanan Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya)

6. Ahmad Faedzal Md Ramli (Timbalan Pengarah Seksyen Perkhidmatan Sosial, Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM)

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:15 PM