HEUNG-Min (tengah) selamatkan maruah Spurs. -Foto EPA

LONDON: Jaringan lewat Son Heung-min dan Fernando Llorente membolehkan Tottenham bangkit menewaskan Watford 2-1 di Wembley awal pagi tadi sekali gus menceriakan penyokong selepas tersingkir daripada saingan Piala Liga dan Piala FA.

Spurs lebih menguasai perlawanan di Wembley namun kekurangan inspirasi selepas ketiadaan gandingan Harry Kane dan Dele Alli.

Mereka nyaris kalah untuk kali ketiga dalam lima perlawanan selepas jaringan Craig Cathcart membolehkan Watford mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Tetapi Son yang kembali selepas cabaran Korea Selatan dalam Piala Asia berakhir menyamakan kedudukan pada minit ke-80 dan penyerang Sepanyol Llorente muncul wira pada minit ke-87.

Watford mendahului perlawanan apabila pertahanan Ireland Utara, Cathcart menanduk masuk sepakan penjuru dari sebelah kiri pada minit ke-38 yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah Hugo Lloris.

Spurs menguasai perlawanan pada separuh masa pertama tetapi gagal mencipta peluang terbaik dan Watford turut mengancam kubu tuan rumah terutama melalui penyerang Gerard Deulofeu.

Pengurus Spurs Mauricio Pochettino lega selepas mendapatkan semula Son yang kelibatnya sering diawasi pertahanan lawan dan dia hampir menjaringkan gol hasil rembatan di luar kotak penalti pada minit ke-9. Enam minit kemudian rembatan Christian Eriksen berjaya diselamatkan penjaga gol Watford Ben Foster.

Tetapi Watford terlebih dahulu memecah kebuntuan jaringan selepas Cathcart menanduk masuk sepakan penjuru Deulofeu.

Pochettino memasukkan Lucas Moura pada separuh masa kedua untuk menambahkan sengat di bahagian serangan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-51 namun rembatan jarak dekat Llorente melepasi palang gol.

Gol penyamaan diperolehi selepas Son bijak melarikan diri daripada kawalan pertahanan Watford dan melakukan rembatan dalam kotak penalti. Llorente muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan melalui tandukan selepas mendapat hantaran jauh Danny Rose tiga minit sebelum tamat masa permainan.

Spurs akan menentang Newcastle dan Leicester dalam aksi liga sebelum beraksi dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 8:55 AM