PEMAIN Juventus berduka selepas tewas mengejut ditangan Atalanta. -Foto Reuters
PEMAIN Juventus berduka selepas tewas mengejut ditangan Atalanta. -Foto Reuters
AFP

MILAN: Juara empat kali, Juventus tersingkir daripada saingan Piala Itali, awal pagi tadi selepas tunduk 0-3 kepada Atalanta di peringkat suku akhir ketika AS Roma dimalukan dengan kekalahan besar 1-7 kepada Fiorentina.

Juventus pada musim ini berusaha untuk menjulang gelaran berganda kelima berturut-turut piala dan liga tetapi ketajaman penyerang Atalanta, Duvan Zapata gagal dikekang skuad kendalian Massimiliano Allegri.

Selepas Timothy Castagne meledak gol pembukaan pada minit ke-37, penyerang Colombia Zapata menggandakan kelebihan itu dua minit kemudian sebelum menyumbat gol kedua peribadi pada minit ke-86.

Kemenangan menyaksikan pasukan berpangkalan di Bergamo itu mara ke peringkat separuh akhir bertemu Fiorentina dengan Juventus dipalit kekalahan pertama dalam kempen domestik musim ini.

Sekali pun masih belum tewas dalam saingan Serie A, Juventus pada minggu lalu terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Lazio 2-1 di Rome dengan gol kemenangan dijaringkan Cristiano Ronaldo.

Begitupun, penyerang bintang Portugal itu gagal memecah kebuntuan untuk meledak dalam saingan piala buat pertama kami dengan juara Itali itu turut kehilangan tonggak pertahanan, Giorgio Chiellini pada babak pertama.

“Manusia tidak sentiasa berada di atas,” kata Allegri yang turut disisihkan daripada kawasan tepi padang. “Saya tidak tahu sudah berapa banyak kemenangan yang pemain-pemain ini raih. 

“Di Rome, kami mengharungi persembahan pada babak pertama yang mengecewakan tetapi kami bangkit. Tetapi kali ini segala-galanya tidak menjadi. Adalah gila untuk berfikir yang kami boleh menang setiap perlawanan. 

“Ia mengecewakan kerana kami benar-benar mahukan trofi ini. Atalanta layak untuk menang. Mereka lebih baik dan menonjolkan kekuatan mental.”

Pada perlawanan yang berlangsung lebih awal di Tuscany, Federico Chiesa menjaringkan hatrik ketika Fiorentina membelasah Roma.

“Saya amat kecewa, tetapi saya tidak akan berhenti,” kata pengurus Roma, Eusebio Di Francesco. “Saya kecewa dengan pasukan, tiada sebarang alasan. Saya bergelut untuk menjelaskan apa yang berlaku, tiada apa yang betul dalam perlawanan yang kami harungi. Ia memalukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:38 AM
Digital NSTP Subscribe