MAURICIO POCHETTINO
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino memuji kekuatan mental pemainnya selepas jaringan lewat Son Heung-min dan Fernando Llorente menganugerahkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Watford, awal pagi tadi.

Selepas mengharungi minggu yang hambar, Spurs mendominasi perlawanan di Wembley tetapi kurang inspirasi tanpa kelibat dua tonggak England, Harry Kane dan Dele Alli.

Kelab dari London itu tampak seperti akan mengharungi kekalahan ketiga Liga Perdana dalam lima perlawanan selepas Watford terlebih dulu di depan menerusi jaringan Craig Cathcart pada babak pertama.

Tetapi Son yang kembali disenarai selepas penyingkiran Korea Selatan daripada kempen Piala Asia menyamakan kedudukan berbaki 10 minit permainan sebelum penyerang Sepanyol, Llorente meledak gol kemenangan pada minit ke-87.

Kemenangan menyaksikan Spurs mengekalkan tempat di posisi ketiga liga, ketinggalan dua mata di belakang penyandang juara, Manchester City tetapi memiliki kelebihan tujuh mata di depan pasukan tangga kelima, Chelsea.

“Saya fikir kami benar-benar layak meraih kemenangan,” kata Pochettino. “Ia tiba lewat tetapi kami sentiasa berusaha. Prestasi babak kedua yang menakjubkan.

“Pada babak pertama, sukar untuk kami mencipta peluang, kami mendominasi tetapi tidak mencipta peluang. Menakjubkan untuk menang selepas minggu yang sukar... bagus untuk kembali tersenyum. Mentaliti ketika ini sempurna.”

Pochettino berkata dia gembira dengan kepulangan Son dan berharap penyerang itu boleh bersedia bagi aksi menentang Newcastle, Sabtu ini selepas menamatkan perlawanan dengan kekejangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:11 PM