PKBM menegaskan LTdL 2019 kekal pada tarikh yang ditetapkan. FOTO Imran Makhzan
Azlan Muhammad Zain


PERLUMBAAN berbasikal jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bertindih dengan pameran antarabangsa di pulau legenda itu mungkin tetap diadakan dari 24 hingga 31 Mac depan.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab menegaskan, mereka tidak berminat untuk menukar tarikh itu walaupun syarikat pengurusan acara, Human Voyage (M) Sdn Bhd dilaporkan meminta tarikh diubah.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin menyerahkan kepada PKBM mencari jalan penyelesaian kerana pertindihan tarikh dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA) dari 26 hingga 30 Mac depan.

“Banyak perkara dan prosedur perlu dilakukan sekiranya mahu mengubah tarikh perlumbaan. Ia bukan saja membabitkan KBS dan PKBM namun Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) serta persetujuan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

“Jika sudah tahu tarikh bertembung dengan LIMA, kenapa turut menawarkan diri? Ia boleh dilihat tidak adil kepada kontraktor lain yang turut bersaing mendapatkan kontrak penganjuran,” katanya.

Human Voyage, syarikat sama yang menguruskan LTdL 2015 diumumkan terpilih untuk menganjurkan perlumbaan berstatus hors itu selama tiga tahun hingga 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 7:11 PM