MILUNOVIC menyumbat gol pendahuluan buat Sabah menentang JDT II di Stadium Likas, malam ini. - FOTO BERNAMA
Ryan Stanley


ROZAIMI Rahman mengecewakan negeri kelahirannya Sabah apabila penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT II) itu membantu pasukannya bangkit melakar kemenangan 2-1 pada aksi Liga Perdana di Kota Kinabalu, malam ini.

Bekas bintang Sabah itu melakukan sepakan percuma cantik pada minit ke-83 sekali gus menggagalkan hasrat skuad Tambadau untuk mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri.

Pemain import baru Sabah, Luka Milunovic bagaimanapun lebih dulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila memecah kebuntuan dengan gol pertama pada minit ke-13.

Gol itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol JDT II, Haziq Nadzli yang terlepas bola dari kakinya sebelum cuba diasak oleh Rodoljub Paunovic namun bola kemudian menuju ke arah Milunovic yang dengan mudah melakukan penyudah bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Penyerang JDTII, Mohammed Ghaddar kemudian menyamakan kedudukan buat pelawat pada minit ke-62 apabila menanduk masuk sepakan percuma S Kumaahran bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Sepakan percuma Rozaimi tujuh minit sebelum tamat kemudian mengesahkan tiga mata penuh menjadi milik mereka dengan keputusan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 10:44 PM