HEUNG Min (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan Davinson Sanchez selepas mengatasi Newcastle 1-0 di Stadium Wembley, malam ini. - Foto AFP
Reuters

SON Heung Min melupakan kekecewaan Piala Asia apabila membantu kelabnya Tottenham Hotspur menang 1-0 ke atas Newcastle United pada aksi Liga Perdana Inggeris di London, malam ini.

Kemenangan tipis di Stadium Wembley itu juga membolehkan Spurs merampas kedudukan tangga kedua satu mata di depan pasukan juara Manchester City yang hanya turun beraksi malam esok menentang Arsenal.

Ketika Spurs seakan merakam keputusan seri pertama musim ini, Heung Min melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang gagal ditangkap penjaga gol Martin Dubravka dan merapatkan jurang kepada empat mata dengan pendahulu, Liverpool yang akan bermain Isnin ini.

Ia gol kesembilan pemain Korea Selatan itu dalam 10 penampilan untuk Tottenham dan tamparan hebat buat Newcastle yang begitu hampir mengutip satu mata malam ini.

Spurs mensia-siakan deretan peluang termasuk tandukan Lucas Moura di hadapan gawang, tandukan Erik Lamela yang terkena tiang dan percubaan Christian Eriksen yang dinafikan oleh Fabian Schar di atas garisan.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino sebelum ini sudah dua kali menjaringkan gol kemenangan liga di akhir permainan, menentang Fulham dan Watford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 11:23 PM